KUALA LUMPUR, 7 Nov - Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini mengembalikan nostalgia, apabila lebih seribu orang pemimpin utama PAS dari seluruh negara berhimpun sejak jam 8 pagi untuk menyertai satu seminar bagi memperkasakan parti.
Ucaputama yang menggariskan halatuju PAS sebagai sebuah parti politik utama dan gerakan Islam dinegara ini disampaikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau memulakannya dengan memetik ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Maidah yang menerangkan tentang sifat sebenar orang beriman dalam melaksanakan urusan perjuangan, suatu amanah yang dituntut dalam kehidupan ini.
Katanya, antara sifat orang-orang beriman itu adalah, mereka mampu berhadapan dengan berbagai celaan orang yang mencela yang menjadikan golongan tersebut ’mampan dan kalis ujian’ dan akan dapat mencapai kemenangan.
Beliau menegaskan, sifat-sifat parti Islam itu jelas berbeza dengan parti politik lain, walau antaranya terdiri dari umat Islam, mereka tidak sampai ke penghujung.
Seminar Memperkasakan Parti ini diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS minggu lalu, setelah suasana ‘kecoh sebentar’ ekoran tulisan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempertikaikan beberapa pimpinan utama PAS dalam laman blognya.
PAS teruskan komitmen kukuhkan Pakatan Rakyat
Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan bahawa parti itu akan meneruskan komitmen mereka bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata, PAS akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan.
"Ingin saya tegaskan untuk kesekian kalinya bagi kita terus bersama Pakatan Rakyat.
"Hubungan yang kita bina bersama Pakatan Rakyat ini adalah bertitik tolak dari asas persamaan iaitu semua pihak bersetuju untuk memerangi penyelewengan rasuah dan sebagainya," katanya dalam ucaptama sempena Seminar Memperkasakan Parti di sini, hari ini.
Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, persefahaman yang wujud itu dilakukan tanpa mengorbankan dasar yang diperjuangkan PAS.
"PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah parti dakwah, hubungan yang terbentuk ini kuat tapi fleksibel.
"Bukan hubungan yang kuat, kukuh tapi tidak fleksibel atau rapuh. Strategi bersama ini berjaya menyekat BN (Barisan Nasional) sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan sebagaimana yang kita saksikan sekarang ini," katanya sebagaimana dilaporkan mStar Online.
Tambah Abdul Hadi, PAS perlu memperkukuhkan kekuatan bagi memenangi undi di kalangan pengundi Islam namun dalam masa yang sama berusaha untuk meraih undi penyokong bukan Islam.
"PAS hendaklah membina dan memperkukuhkan lagi kekuatannya di atas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar perjuangan Islam.
"Tapi dalam masa yang sama hendaklah mendapatkan undi bukan Islam sebanyak mungkin kerana inilah pendekatan politik yang sebenarnya, asalkan kita mempelihara, akidah dan menjaga sempadan," katanya.
Menurut Abdul Hadi lagi, PAS perlu mengamalkan dasar keterbukaan dan seterusnya menjalinkan hubungan dengan semua pihak yang boleh membawa kepada kemenangan Islam.
Selain itu dalam ucapannya juga, Abdul Hadi menyeru kepada lebih 1,000 ahli yang menghadiri seminar hari ini supaya bersikap lebih matang dalam menerima setiap kritikan kepada PAS dengan hati terbuka.
"Apabila PAS mendapat perhatian umum, ramai peminat yang akan memberikan komen-komen.
"Ada yang manis, ada pahit, jadi kita kena menjadi parti yang matang menilai antara keritikan untuk kekuatan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment