Sunday, February 21, 2010

BLOG LAJNAH PENERANGAN PAS LANGKAWI BERPINDAH KE ALAMAT BARU..

DIMAKLUMKAN BLOG LAJNAH PENERANGAN, DAKWAH DAN ICT PAS LANGKAWI TELAH BERPINDAH KE ALAMAT BARU :


TERIMA KASIH,
HARAP MAKLUM.

BlogMaster

Penyerahan Jersi Bola Sepak oleh YDP PAS Langkawi


Padang Rojam, 21 Feb - Kelmarin berlangsung majlis ringkas penyerahan jersi bola sepak kepada pemain-pemain Mawat FC bertempat di Padang Rojam, Makam Mahsuri. Majlis penyerahan jersi tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi En Zubir Bin Ahmad, manakala pihak Mawat FC diwakili oleh ketua pasukannya Sdr Shaharudin Bin Mat Radzi. Turut bersama dalam majlis itu Pengerusi Lajnah Sukan dan Kebudayaan Dewan Pemuda PAS Langkawi Sdr Yusof bin Che Rus serta Ketua Dewan Ulama Kawasan Langkawi Ustaz Halim.

Para pemain menyatakan kesyukuran serta berterima kasih di atas sumbangan YDP PAS Kawasan Langkawi itu dan berharap pihak PAS dan kerajaan negeri akan sentiasa mengikuti perkembangan serta mengambil berat aktiviti dan kegiatan sukan yang membabitkan remaja dan belia di Daerah Langkawi.

Majlis berakhir kira-kira jam 6.30 petang.


Sdr Yusof bin Che Rus Pengerusi Lajnah Sukan dan Kebudayaan DPPP Langkawi menunjukkan jersi yang disumbangkan oleh YDP PAS Langkawi kepada Mawat FC.

En Zubir bin Ahmad, YDP PAS Kawasan Langkawi menyerahkan jersi bola sepak kepada Kapten Pasukan Mawat FC, Sdr Shaharudin Bin Mat Radzi.

Para pemain Mawat FC tidak melepaskan peluang mencuba jersi baru.

Monday, February 8, 2010

Skim Kafalah..Tahniah Kerajaan Kedah..!


Sekalung tahniah atas kejayaan kerajaan negeri Kedah melaksanakan janji dalam pilihanraya lalu iaitu untuk menubuhkan skim bantuan pengurusan kematian untuk golongan miskin di negeri Kedah yang dikenali sebagai Skim Kafalah. Pihak PAS Kawasan Langkawi mengalu-alukan kejayaan kerajaan melaksanakan skim ini yang ternyata telah berjaya dilaksanakan di Kelantan sejak beberapa tahun yang lalu.

Skim yang menggunakan kaedah yang sama di Kelantan ini dikenali sebagai Takaful Armalah telah berjaya membantu ribuan rakyat yang memerlukan. Pihak kami percaya dengan kejayaan kerajaan negeri Kedah menyalurkan peruntukan sebanyak RM 3.6 juta untuk tujuan ini akan memberi impak positif kepada rakyat. Ini bertepatan dengan slogan kerajaan negeri iaitu 'Kedah Sejahtera' yang ternyata mampu memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

Kami berdoa agar kerajaan yang mendapat dokongan rakyat ini akan diberkati dan dilimpahkan rahmat sentiasa. Amin.

Ahmad Bin Sidek
Ketua Penerangan PAS Langkawi.

Keterangan lanjut berkaitan Skim Kafalah rujuk :

Sunday, January 24, 2010

SEKITAR CERAMAH TN HJ MOHAMAD SABU..

Temonyong, 24 Jan - Semalam markas PAS Temonyong yang telah sekian lama sunyi kembali digegarkan dengan tempikan dan laungan 'Allahuakbar'. Tempikan dan laungan'AllahuAkbar' bergema disegenap pelusuk markas apabila penceramah terkemuka Tn Hj Mohamad Sabu telah menyampaikan mesej serta informasi bertenaga beliau berkenaan dengan sejarah serta situasi politik semasa.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Sdr Zubir bin Ahmad merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi yang kemudiannya disusuli oleh Tn Hj Adnan bin Saad yang merupakan salah seorang pimpinan PAS Negeri Kedah. Cuaca yang sangat baik semalam telah mengizinkan kehadiran yang sangat di luar jangkaan pihak penganjur. Pihak Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi (DPPPL) yang menjalankan usaha promosi ceramah ini amat berpuas hati di atas sambutan masyarakat terhadap penganjuran ceramah serta sesi penerangan ini. Menurut Setiausaha DPPPL, Sdr Nazmi bin Natzeri penganjuran program ini adalah antara 'buah mula' untuk masyarakat Langkawi bagi tahun 2010 ini sebelum disusuli program-program lain yang tidak kurang menarik untuk sepanjang tahun ini.

Atas kejayaan penganjuran ceramah serta program penerangan semalam pihak DPPPL mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih atas segala kerjasama terutama sekali kepada penceramah Tn Hj Mohamad Sabu bersama rombongannya, selain itu tidak lupa kepada semua warga PAS Langkawi yang bertungkus lumus sejak dari petang hari hingga selesai majlis semalam. Pihak DPPPL juga merakamkan penghargaan atas sambutan serta komitmen yang ditunjukkan masyarakat mukim kedawang khususnya dan warga Langkawi amnya dalam menjayakan majlis ini.





Monday, January 18, 2010

SOLAT HAJAT MOHON PULIH KESIHATAN US HARUN TAIB

Semalam bertempat di Surau Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) Langkawi diadakan majlis solat hajat dan bacaan yasin semua pimpinan peringkat kawasan termasuk dewan ulama, dewan pemuda dan dewan muslimat. Usaha yang digerakkan Dewan Pemuda PAS Langkawi (DPPPL) ini diaturkan sejurus selepas menerima berita mengenai keadaan kesihatan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat YB Ustaz Dato Harun Taib yang diberitakan agak kritikal. Menurut sumber Ustaz Harun sekarang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Terengganu.

Pihak DPPPL memohon agar Allah SWT mengurniakan keselamatan serta mengembalikan kesihatan Ustaz Harun seperti sediakala serta berharap keluarga beliau dapat bersabar di atas segala ujian ini.





Thursday, December 3, 2009

HIMPUNAN SOKONG KEPIMPINAN TUAN GURU NIK AZIZ ESOK

KOTA BHARU, 3 Dis: Penerangan PAS Kelantan menyeru orang ramai hadir pada program himpunan menyokong kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang bakal diadakan esok, 4 Disember.Program berkenaan dijangka bermula pukul 10.20 pagi sejurus selepas kuliah Jumaat, di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati, di sini (perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri).Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah, ketika memberitahu media semalam berkata himpunan berkenaan diadakan bagi menyokong kepimpinan Tuan Guru sebagai Menteri Besar yang tidak berbelah bagi.“Memandangkan kini ada pihak yang mendesak Tuan Guru supaya melepaskan jawatannya, sebaliknya pula kita akan mempertahankan Tuan Guru agar tidak berbuat demikian.“Kita akan menganjurkan program ini semata-mata untuk menyatakan sokongan kita terhadap kepimpinan Tuan Guru,”ujarnya.Sambungnya, tidak ada sebab Tuan Guru harus melepaskan jawatannya memandangkan kepimpinan beliau masih diperlukan disamping ketokohannya yang sukar dicari ganti.Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai hadir untuk menyatakan pendirian berkenaan pada program yang dianjurkan Badan Perhubungan PAS Negeri itu.“Pada mereka yang mengikuti kuliah Jumaat Tuan Guru, kita minta mereka menunggu untuk seketika bagi menjayakan program tersebut,”ujarnya.Sebelum ini, kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Perihatin Rakyat Kelantan yang turut disertai pemimpin Umno Bahagian Pasir Mas diketuai ketuanya, Che Johan Che Pa, telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar supaya meletakkan jawatannya.
Bagaimanapun perhimpunan tersebut dianggap gagal apabila impian Umno menghimpunkan 2,000 penyokong hanya disertai kira-kira 100 orang sahaja.Biar pun media harian kelihatan sepakat melaporkan lebih 1,000 orang hadir pada perhimpunan di depan Kota Darulnaim, namun ia tidak mampu memperbodohkan orang ramai yang menyaksikan ‘drama’ tersebut.
Semalam, Dewan Pemuda PAS negeri, telah menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Tuan Guru dalam sidang mereka tersebut yang diketuai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Baihaqi.Pada masa yang sama, Naib Ketuanya, Hisyam Fauzi, mengucapkan terima kasih kepada kepada pasukan keselamatan terutama Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi yang turut turun padang meninjau perkembangan di hari perhimpunan berkenaan diadakan.Menurut Hisyam, tekanan yang diberikan begitu kuat terhadap kepimpinan Kelantan, terutama pada Tuan Guru adalah untuk mengalihkan isu kerisis kepimpinan dalam Barisan Nasional (BA) terutama Umno dan MCA.“Kerana integriti Tuan Guru yang tersenarai diantara 42 dari 500 orang pemimpin Islam di peringkat dunia juga menyebabkan mereka cemburu, kerana itu menciptakan pelbagai isu untuk memburukkan imejnya,”ujarnya.

Tuesday, December 1, 2009

PROGRAM PENGHAYATAN JIHAD



PANTAI CHENANG, 30 Nov -Pas Langkawi melalui Lajnah Penerangan dan Dakwah sekali lagi berjaya menganjurkan Program Penghayatan Jihad yang merupakan program yang julung-julung kali diadakan di kawasan ini. Program anjuran bersama antara Lajnah Penerangan dan Dakwah serta Dewan Pemuda PAS Langkawi berjaya menarik penyertaan lebih kurang 80 orang peserta. Program yang diadakan di CD Motel Pantai Chenang ini dimulakan jam 8.30 pagi dan berakhir lebih kurang jam 5.30 petang.

Program bermula dengan ucapan aluan Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Sdr Zubir Bin Ahmad dan kemudiannya ucapan dari Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Langkawi, Ustaz Yusof bin Ismail. Antara pembentang kertas kerja pada program ini adalah Ustaz Abu Farid Nasr Hj Awang, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Langkawi diikuti pembentang kertas kerja yang kedua Ustaz Mohd Lutfi bin Ariffin yang juga merupakan Ahli Jawatan Kuasa Dewan Ulamak PAS Kedah. Manakala sesi penggulungan yang sepatutnya disempurnakan pada sebelah petang terpaksa ditangguhkan ke sebelah malamnya disebabkan kelewatan tiba Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi ke tempat program. Walaupun tertangguh namun sesi penggulungan Program Penghayatan Jihad ini berjaya diadakan juga serentak bersama majlis ceramah di Markas PAS Sg Itau, Ayer Hangat.

En Ahmad Bin Sidek selaku Pengarah Program merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Langkawi menyifatkan program ini sebagai berjaya mencapai objektif yang digariskan. Beliau juga amat mengharapkan usaha yang berterusan digembelingkan bersama agar program-program kefahaman dan tarbiyah ini makin disuburkan disegenap peringkat dalam parti.

Turut hadir dalam majlis ini, Yang Dipertua PAS Langkawi, Saudara Zubir Bin Ahmad serta seluruh kepimpinan Kawasan serta barisan kepimpinan Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Penyertaan yang memberangsangkan juga datang dari kalangan pimpinan-pimpinan cawangan secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada pihak penganjur untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan dalam kalendar Lajnah bagi masa-masa akan datang.

Sesi pendaftaran peserta

YDP PAS Langkawi Sdr Zubir Ahmad (kanan) bersama Timb. Ketua Dewan Ulamak PAS Langkawi Ustaz Yusof Bin Ismail

Tayangan Video Dokumentasi Perjuangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor diselitkan antara pembentangan kertas kerja

Antara muslimat yang hadir

Antara Muslimin yang hadir

Pembentangan Kertas Kerja pertama oleh Ustaz Abu Farid Nasr Hj Awang bertajuk Fiqh Daulah atau Fiqh Kerajaan.

Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Ustaz Mohd Lutfi Bin Ariffin berjaya membuka mata dan hati peserta tentang kepentingan jihad dalam kehidupan berjamaah.

Antara peserta yang tidak melepaskan peluang mengemukakan pandangan serta persoalan.

'Budi Ditabur Jasa Dibalas'..

Pemerkasaan program tarbiyah di semua peringkat menjadi agenda utama jamaah bagi memantapkan organisasi serta melahirkan generasi qiyadi dan jundi yang menyumbang kepada jamaah.