Saturday, October 17, 2009

MAJLIS KERAIAN & SUMBANGAN KEPADA BAKAL HAJI LANGKAWI

ULU MELAKA, 17 Okt - Bakal-bakal jemaah haji mengambil kesempatan cuti hujung minggu bagi menghadiri Majlis Keraian dan Sumbangan Kepada Bakal Jemaah Haji anjuran Pakatan Rakyat Langkawi yang diadakan di Masjid Jamie', Ulu Melaka. Taklimat awal telah disampaikan oleh Ustaz Haji Abd Ghani bin Hussin, Penceramah Tabung Haji tentang persediaan akhir dan tatacara sepanjang mengerjakan ibadah haji setelah selesai sesi pendaftaran nama penerima sumbangan.

Hadirin yang hadir bersama-sama menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Ustaz Yusof bin Ismail, Mudir SRIDU Langkawi. Solat hajat ini antara lainnya bertujuan memohon ke hadrat Ilahi agar dipermudahkan segala urusan para jemaah sepanjang bermusafir menunaikan rukun Islam kelima ini.


Sekitar jam 10.15 pagi, para bakal haji mendengar serba sedikit amanat serta harapan dari Hj. Wan Salleh, YDP PKR Langkawi. Ucapan yang diselang-seli dengan rentetan pengalaman beliau sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan terutama bagi jemaah yang baru pertama kali akan menjejakkan kaki di bumi Mekah. "Tumpukan amal ibadat di Tanah Suci, janganlah difikirkan sangat akan waris-waris yang ditinggalkan," tegas beliau dalam nada agak berseloroh. Selain menjaga peradaban, para bakal haji dipesan agar tidak terlalu boros ketika di sana.

Ucapan berikutnya adalah dari YDP PAS Langkawi, Encik Zubir Ahmad. "Rakan-rakan turut mendoakan agar bakal-bakal haji mendapat haji yang mabrur," ucap beliau. Bersyukur dengan terpilihnya 72 orang bakal-bakal haji dari Langkawi, dengan menitiskan air mata beliau berharap agar para jemaah turut mendoakan supaya lebih ramai jemaah akan dapat mengiringi panggilan Baitullah pada masa akan datang.

Majlis penyampaian sumbangan berbentuk senaskhah Surah Yassin, bam dan minyak gamat, biskut serta wang tunai telah disempurnakan oleh Haji Wan Salleh, YDP PKR Langkawi diikuti oleh Encik Zubir bin Ahmad, YDP PAS Langkawi sekitar jam 10.30 pagi. Keenakan menu nasi lemak, kuih-muih disertakan dengan kepekatan teh dan kopi menanti tetamu diakhir majlis. Kiosk produk tenusu kambing oleh peniaga tempatan turut memeriahkan suasana. SELAMAT BERANGKAT WAHAI TETAMU ALLAH, SEMOGA KALIAN SELAMAT PERGI DAN KEMBALI SERTA MENDAPAT HAJI YANG MABRUR.....Amin




Tuesday, October 13, 2009

MAJLIS RUMAH TERBUKA SEMPENA AIDILFITRI

LANGKAWI, 9 Okt - Ahli Jawatankuasa PAS Parlimen Langkawi dengan kerjasama seluruh jentera Pemuda, Muslimat dan Kelab Penyokong telah berjaya menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. Perancangan rapi dan semangat ukhwah yang tinggi sememangnya menjadi tunjang dalam menjayakan majlis ini. Sejak dari awal pagi, jawatankuasa terlibat telah bertungkus lumus membuat persediaan akhir.


Selepas solat Jumaat, Padang Bolasepak Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat mula dibanjiri pengunjung dari pelbagai status, bangsa dan agama. Cuaca yang agak baik pada peringkat awal menyumbang kepada kehadiran berpusu-pusu masyarakat sekitar Langkawi. Antara tetamu VIP yang turut hadir ialah YBhg Dato' Dr. Haron Din Al-Hafiz, YB Dato' Haji Phahrolrazi bin Haji Zawawi, Ustaz Nor Azli bin Musa, Pengerusi PKR Langkawi Encik Wan Salleh serta AJK. Tidak ketinggalan kelab-kelab penyokong PAS Langkawi.



Gerai-gerai yang menyajikan pelbagai juadah dikendalikan oleh cawangan-cawangan PAS seluruh Langkawi. Dewan Pemuda telah diamanahkan untuk mengendalikan kiosk minuman dengan dibantu Lajnah Penerangan dan Dakwah sememangnya 'tak menang tangan' sebaik sahaja servis pertama bermula. Walaupun pada peringkat pertengahan majlis dihujani hujan rahmat, namun kehadiran pengunjung yang semakin bertambah seakan-akan tidak dipengaruhi faktor cuaca tersebut.



Acara diteruskan lagi dengan pengagihan sumbangan duit raya yang disempurnakan oleh YB Dato' Haji Phahrolrazi, Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan anak-anak dari PASTI, SRIDU dan pelajar-pelajar Maktab Mahmud Cawangan Langkawi. Hiburan bercorak Islamic ini andai tidak diterap dan didik di peringkat awal pastinya akan lenyap dek hembusan hiburan bercorak barat.

Majlis diakhiri dengan gotong-royong membersihkan kawasan serta menurunkan khemah oleh AJK PAS Kawasan, Pemuda, Muslimat serta individu-individu yang membantu secara sukarela. Diharapkan aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Semoga segala usaha murni sebegini mendapat keredhaan dariNya....

CERAMAH SEMPENA RUMAH TERBUKA PAS LANGKAWI

LANGKAWI, 8 Okt : PAS Langkawi meneruskan tradisi dengan menganjurkan Ceramah Sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di padang bolasepak Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat. Ceramah tersebut antara lain bertujuan mendedahkan senario terbaru kancah politik negara. Ceramah dimulakan selepas solat Isyak dengan pendedahan isu-isu semasa yang melanda politik negeri Perak yang disampaikan oleh Ust. Norazli Musa. Beliau turut menjawab tohmahan UMNO tentang isu pemberian tanah kepada kaum Cina."Kepimpinan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberikan tanah kepada golongan Cina miskin, berbeza dengan kepimpinan UMNO/BN yang lebih memberikan tanah kepada tauke-tauke Cina," tegas beliau dengan nada kesal. Ust Norazli turut menyeru kepada semua agar dapat sama-sama mengadakan solat hajat pada 4 November ini memandangkan keputusan mengenai status tampuk pemerintahan negeri Perak akan diumumkan pada 5 November nanti.


Ceramah diteruskan dengan kupasan dan permasalahan yang terpaksa ditanggung kerajaan Pakatan Rakyat akibat ketidakseimbangan corak pemerintahan kerajaan yang lalu. "Kerajaan Pakatan Rakyat amat telus dalam pemberian projek. Setiap projek yang diberikan hanyalah melalui tender terbuka. Amalan memberikan tender secara rundingan bukan cara kita," ulas YB Dato' Haji Phahrolrazi. Beliau yang juga Exco kerajaan negeri Kedah bersyukur memandangkan permasalahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dapat ditangani sebaik mungkin.




Monday, September 7, 2009

PAS LANGKAWI BERI BANTUAN BANJIR DI KEDAWANG

Jumaat 4 September, PAS Kawasan Langkawi dengan kerjasama PAS cawangan Gelam telah memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda Pulau Langkawi di dalam minggu pertama ramadhan. Kedawang adalah kawasan yang paling teruk terjejas. Ini dapat dilihat dari bilangan penghuni Pusat Penempatan Banjir di Dewan Semerbak Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang yang mengjangkau hampir 1 ribu orang. Sumbangan disampaikan oleh Sdr Zubir Ahmad (YDP PAS Langkawi), Sdr Mazlan Ahmad (TYDP PAS Langkawi) dan Sdr Sobri Rahmat (Pengerusi Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan Pemuda PAS Langkawi). Berikut adalah gambar-gambar sekitar program penyerahan sumbangan itu.













PEMANDU TEKSI LANGKAWI MOGOK

Sabtu 15 ogos, Hampir semua pemandu teksi di Langkawi tidak menjalankan aktiviti membawa penumpang pada hari ini kerana pemandu teksi melakukan mogok membantah tindakan YB Nawawi ( ADUN Kuah ) yang membela kereta sewa 'haram' yang bermaharajalela di Langkawi terutama ketika musim pelancong Arab. Akibat mogok ini aktiviti pelancongan Langkawi terjejas teruk kerana ketiadaan teksi untuk membawa penumpang.
Akibat mogok ini memaksa Menteri Pelancongan YB Dato' Ng Yen Yen dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bergegas ke Langkawi untuk menyelesaikan tunjuk perasaan itu. Tunjuk perasaan yang berlangsung sampai malam itu berakhir apabila Menteri Pelancongan dan Ketua Pengarah JPJ berucap dan memberi jaminan akan menyelesaikan perkara yang dibangkitkan. Apa yang menarik ialah YB Dato' Nawawi, ADUN Kuah yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Langkawi turut kelihatan dan ingin memberi ucapan tetapi dihalang oleh penunjuk perasaan dengan kata-kata yang 'cukup berbisa' sehingga pihak polis terpaksa mengiringi Dato' Nawawi yang menangis ke kereta dan pulang.
Mogok berakhir sekitar jam 12 tengah malam.

MUNAQASYAH UCAPAN DASAR PRESIDEN PERINGKAT NEGERI KEDAH

Sabtu 15 Ogos, Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden telah diadakan bermula dari jam 2 petang hingga jam 6 petang bertempat di kompleks PAS Kedah Batu 9. Majlis ini melibatkan semua pimpinan PAS Kawasan dan dewan-dewan dari kawasan-kawasan seluruh negeri Kedah.
Majlis yang dipengerusikan oleh Ust Ahmad Bin Yahya ( Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah ) itu dimulakan dengan ucaptama munaqasyah yang disampaikan YBhg Ust Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man Naib Presiden PAS. Setelah selesai ucaptama dari Ust Tuan Ibrahim, majlis diteruskan dengan pembentangan dari wakil-wakil setiap kumpulan mengikut tajuk masing-masing. PAS Langkawi berada dalam kumpulan 1 bersama Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah dan PAS Jerlun.
Sebagai penutup majlis ialah ucapan penggulungan oleh YAB Dato' Seri Ust Azizan Bin Abd Razak, Menteri Besar Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah yang merumuskan apa yang dibahaskan oleh wakil setiap kumpulan. Walaupun rumusan dari Ust Azizan 'cukup pedas' tetapi ianya sangat berguna untuk pimpinan PAS seluruh kawasan Negeri Kedah untuk memahami duduk sebenar sesuatu perkara itu.
Majlis yang tamat pada jam 6 petang itu turut dihadiri oleh sebahagian besar pimpinan PAS peringkat negeri. Antara yang kelihatan ialah Ust Dato' Taib Azamudin ( Timbalan Pesuruhjaya III ), YB Senator Yusof Hussin ( Setiausaha PAS Kedah ), YB Dato' Taulan Rasul ( EXCO Kerajaan Kedah merangkap Bendahari PAS Kedah ) dan YB Ustazah Aishah Ghazali ( EXCO Kerajaan Kedah ).

PROGRAM ISTIQBAL RAMADHAN

Selasa 11 ogos, Satu Majlis ceramah Haraki sempena program Istiqbal Ramadhan telah diadakan selepas solat isyak bertempat di Markas PAS Kedawang.
Program yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Langkawi dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi itu telah mengundang salah seorang pimpinan Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah iaitu Ust Mohd Rejab.
Mudah-mudahan dengan ceramah Ust Mohd Rejab yang cukup 'berapi' itu akan memberi suntikan semangat kepada pejuang PAS untuk terus berjuang menyuburkan bumi Allah dengan Hukum Allah SWT InsyaAllah.