Friday, October 30, 2009

Ahli PAS Kena Bijak Menghadapi Fitnah Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.

Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, October 22, 2009





Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Langkawi dengan berbesar hati menjemput Muslimin/Muslimat, Dato'/Datin, Tuan/Puan ke majlis di atas mengkut ketetapan berikut :
Tarikh : 30 Oktober 2009
Tempat : Dataran Bayview, Langkawi.
Masa : Selepas Solat Jumaat.

PAS KAWASAN BERSAMA JEMAAH HAJI

PADANG MATSIRAT, 20 Okt - Kumpulan pertama jemaah haji dari Langkawi telah berangkat menuju Tanah Suci Mekah sekitar jam 5.30 petang hari ini. Keberangkatan para jemaah diiringi oleh seluruh jentera PAS Langkawi.
Bakal-bakal tetamu Allah bersama ahli keluarga telah berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang terletak di kawasan Padang Matsirat selepas solat Asar. Turut serta dalam penghantaran jemaah haji ini, jentera Pemuda diwakili Setiausaha Al-Fadhil Ustaz Nazmi bin Natzeri, Bendahari Sdr Muhammad 'Akasyah Bin Azinan serta AJK yang tiba bersama saf kepimpinan kawasan.

"Seluruh kepimpinan Muslimat PAS Langkawi mendoakan agar para jemaah dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang proses mengerjakan haji. Kami berharap mereka bakal memperolehi haji yang mabrur,"jelas Ustazah Fatiinah binti Ibrahim, Ketua Muslimat PAS Langkawi yang tiba bersama AJK.


Menurut Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah, Sdr Ahmad bin Sidek, dianggarkan sekitar 300 orang bersama-sama mengiringi bakal-bakal haji. "Ini menunjukkan satu sifat ukhwah yang tinggi antara kepimpinan PAS Langkawi dengan masyarakat," tegas beliau.


Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.
Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan 'koleksi' dosa. (dipetik daripada Arkib harakahdaily.net)

Tuesday, October 20, 2009

JAMUAN MALAM BAGI MERAIKAN PETUGAS PAS

AYER HANGAT, 19 Okt- Rentetan daripada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Padang Bolasepak Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat baru-baru ini, PAS Langkawi telah mengambil inisiatif mengadakan majlis makan malam bagi meraikan petugas-petugas yang telah menjayakan majlis rumah terbuka tersebut. "Majlis sebegini diharapkan dapat menjadi suatu motivasi dan penyuntik semangat kepada para petugas, memandangkan gembelengan tenaga merekalah maka program-program yang dirancang oleh pimpinan PAS Langkawi dapat dilaksanakan dengan jayanya," demikian ulasan yang diberikan oleh Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Langkawi, Sdr Ahmad bin Sidek.



Kehadiran tetamu dianggarkan seramai 200 orang. YDP PAS Langkawi, Sdr Zubir bin Ahmad bersama saf kepimpinan turut memeriahkan majlis. Hidangan ikan bakar, kari ikan tenggiri, laksa yang semuanya disediakan secara gotong-royong menjadi menu utama jamuan. Bacaan doa pembuka majlis telah dilafazkan oleh Tuan Haji Othman bin Bakar, Imam Masjid Pasir Hitam.

Sdr Cha bin Din, Ketua Cawangan PAS Pasir Hitam, Sdr Zamin bin Abdullah, Setiausaha PAS Cawangan Pasir Hitam serta AJK PAS Cawangan Pasir Hitam yang bertindak selaku tuan rumah sememangnya sibuk melayan tetamu yang hadir. Majlis tamat sekitar jam 11.00 malam.




Saturday, October 17, 2009

MAJLIS KERAIAN & SUMBANGAN KEPADA BAKAL HAJI LANGKAWI

ULU MELAKA, 17 Okt - Bakal-bakal jemaah haji mengambil kesempatan cuti hujung minggu bagi menghadiri Majlis Keraian dan Sumbangan Kepada Bakal Jemaah Haji anjuran Pakatan Rakyat Langkawi yang diadakan di Masjid Jamie', Ulu Melaka. Taklimat awal telah disampaikan oleh Ustaz Haji Abd Ghani bin Hussin, Penceramah Tabung Haji tentang persediaan akhir dan tatacara sepanjang mengerjakan ibadah haji setelah selesai sesi pendaftaran nama penerima sumbangan.

Hadirin yang hadir bersama-sama menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Ustaz Yusof bin Ismail, Mudir SRIDU Langkawi. Solat hajat ini antara lainnya bertujuan memohon ke hadrat Ilahi agar dipermudahkan segala urusan para jemaah sepanjang bermusafir menunaikan rukun Islam kelima ini.


Sekitar jam 10.15 pagi, para bakal haji mendengar serba sedikit amanat serta harapan dari Hj. Wan Salleh, YDP PKR Langkawi. Ucapan yang diselang-seli dengan rentetan pengalaman beliau sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan terutama bagi jemaah yang baru pertama kali akan menjejakkan kaki di bumi Mekah. "Tumpukan amal ibadat di Tanah Suci, janganlah difikirkan sangat akan waris-waris yang ditinggalkan," tegas beliau dalam nada agak berseloroh. Selain menjaga peradaban, para bakal haji dipesan agar tidak terlalu boros ketika di sana.

Ucapan berikutnya adalah dari YDP PAS Langkawi, Encik Zubir Ahmad. "Rakan-rakan turut mendoakan agar bakal-bakal haji mendapat haji yang mabrur," ucap beliau. Bersyukur dengan terpilihnya 72 orang bakal-bakal haji dari Langkawi, dengan menitiskan air mata beliau berharap agar para jemaah turut mendoakan supaya lebih ramai jemaah akan dapat mengiringi panggilan Baitullah pada masa akan datang.

Majlis penyampaian sumbangan berbentuk senaskhah Surah Yassin, bam dan minyak gamat, biskut serta wang tunai telah disempurnakan oleh Haji Wan Salleh, YDP PKR Langkawi diikuti oleh Encik Zubir bin Ahmad, YDP PAS Langkawi sekitar jam 10.30 pagi. Keenakan menu nasi lemak, kuih-muih disertakan dengan kepekatan teh dan kopi menanti tetamu diakhir majlis. Kiosk produk tenusu kambing oleh peniaga tempatan turut memeriahkan suasana. SELAMAT BERANGKAT WAHAI TETAMU ALLAH, SEMOGA KALIAN SELAMAT PERGI DAN KEMBALI SERTA MENDAPAT HAJI YANG MABRUR.....Amin




Tuesday, October 13, 2009

MAJLIS RUMAH TERBUKA SEMPENA AIDILFITRI

LANGKAWI, 9 Okt - Ahli Jawatankuasa PAS Parlimen Langkawi dengan kerjasama seluruh jentera Pemuda, Muslimat dan Kelab Penyokong telah berjaya menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. Perancangan rapi dan semangat ukhwah yang tinggi sememangnya menjadi tunjang dalam menjayakan majlis ini. Sejak dari awal pagi, jawatankuasa terlibat telah bertungkus lumus membuat persediaan akhir.


Selepas solat Jumaat, Padang Bolasepak Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat mula dibanjiri pengunjung dari pelbagai status, bangsa dan agama. Cuaca yang agak baik pada peringkat awal menyumbang kepada kehadiran berpusu-pusu masyarakat sekitar Langkawi. Antara tetamu VIP yang turut hadir ialah YBhg Dato' Dr. Haron Din Al-Hafiz, YB Dato' Haji Phahrolrazi bin Haji Zawawi, Ustaz Nor Azli bin Musa, Pengerusi PKR Langkawi Encik Wan Salleh serta AJK. Tidak ketinggalan kelab-kelab penyokong PAS Langkawi.



Gerai-gerai yang menyajikan pelbagai juadah dikendalikan oleh cawangan-cawangan PAS seluruh Langkawi. Dewan Pemuda telah diamanahkan untuk mengendalikan kiosk minuman dengan dibantu Lajnah Penerangan dan Dakwah sememangnya 'tak menang tangan' sebaik sahaja servis pertama bermula. Walaupun pada peringkat pertengahan majlis dihujani hujan rahmat, namun kehadiran pengunjung yang semakin bertambah seakan-akan tidak dipengaruhi faktor cuaca tersebut.



Acara diteruskan lagi dengan pengagihan sumbangan duit raya yang disempurnakan oleh YB Dato' Haji Phahrolrazi, Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan anak-anak dari PASTI, SRIDU dan pelajar-pelajar Maktab Mahmud Cawangan Langkawi. Hiburan bercorak Islamic ini andai tidak diterap dan didik di peringkat awal pastinya akan lenyap dek hembusan hiburan bercorak barat.

Majlis diakhiri dengan gotong-royong membersihkan kawasan serta menurunkan khemah oleh AJK PAS Kawasan, Pemuda, Muslimat serta individu-individu yang membantu secara sukarela. Diharapkan aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Semoga segala usaha murni sebegini mendapat keredhaan dariNya....

CERAMAH SEMPENA RUMAH TERBUKA PAS LANGKAWI

LANGKAWI, 8 Okt : PAS Langkawi meneruskan tradisi dengan menganjurkan Ceramah Sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di padang bolasepak Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat. Ceramah tersebut antara lain bertujuan mendedahkan senario terbaru kancah politik negara. Ceramah dimulakan selepas solat Isyak dengan pendedahan isu-isu semasa yang melanda politik negeri Perak yang disampaikan oleh Ust. Norazli Musa. Beliau turut menjawab tohmahan UMNO tentang isu pemberian tanah kepada kaum Cina."Kepimpinan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberikan tanah kepada golongan Cina miskin, berbeza dengan kepimpinan UMNO/BN yang lebih memberikan tanah kepada tauke-tauke Cina," tegas beliau dengan nada kesal. Ust Norazli turut menyeru kepada semua agar dapat sama-sama mengadakan solat hajat pada 4 November ini memandangkan keputusan mengenai status tampuk pemerintahan negeri Perak akan diumumkan pada 5 November nanti.


Ceramah diteruskan dengan kupasan dan permasalahan yang terpaksa ditanggung kerajaan Pakatan Rakyat akibat ketidakseimbangan corak pemerintahan kerajaan yang lalu. "Kerajaan Pakatan Rakyat amat telus dalam pemberian projek. Setiap projek yang diberikan hanyalah melalui tender terbuka. Amalan memberikan tender secara rundingan bukan cara kita," ulas YB Dato' Haji Phahrolrazi. Beliau yang juga Exco kerajaan negeri Kedah bersyukur memandangkan permasalahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dapat ditangani sebaik mungkin.