Tuesday, October 13, 2009

MAJLIS RUMAH TERBUKA SEMPENA AIDILFITRI

LANGKAWI, 9 Okt - Ahli Jawatankuasa PAS Parlimen Langkawi dengan kerjasama seluruh jentera Pemuda, Muslimat dan Kelab Penyokong telah berjaya menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. Perancangan rapi dan semangat ukhwah yang tinggi sememangnya menjadi tunjang dalam menjayakan majlis ini. Sejak dari awal pagi, jawatankuasa terlibat telah bertungkus lumus membuat persediaan akhir.


Selepas solat Jumaat, Padang Bolasepak Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat mula dibanjiri pengunjung dari pelbagai status, bangsa dan agama. Cuaca yang agak baik pada peringkat awal menyumbang kepada kehadiran berpusu-pusu masyarakat sekitar Langkawi. Antara tetamu VIP yang turut hadir ialah YBhg Dato' Dr. Haron Din Al-Hafiz, YB Dato' Haji Phahrolrazi bin Haji Zawawi, Ustaz Nor Azli bin Musa, Pengerusi PKR Langkawi Encik Wan Salleh serta AJK. Tidak ketinggalan kelab-kelab penyokong PAS Langkawi.



Gerai-gerai yang menyajikan pelbagai juadah dikendalikan oleh cawangan-cawangan PAS seluruh Langkawi. Dewan Pemuda telah diamanahkan untuk mengendalikan kiosk minuman dengan dibantu Lajnah Penerangan dan Dakwah sememangnya 'tak menang tangan' sebaik sahaja servis pertama bermula. Walaupun pada peringkat pertengahan majlis dihujani hujan rahmat, namun kehadiran pengunjung yang semakin bertambah seakan-akan tidak dipengaruhi faktor cuaca tersebut.



Acara diteruskan lagi dengan pengagihan sumbangan duit raya yang disempurnakan oleh YB Dato' Haji Phahrolrazi, Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan anak-anak dari PASTI, SRIDU dan pelajar-pelajar Maktab Mahmud Cawangan Langkawi. Hiburan bercorak Islamic ini andai tidak diterap dan didik di peringkat awal pastinya akan lenyap dek hembusan hiburan bercorak barat.

Majlis diakhiri dengan gotong-royong membersihkan kawasan serta menurunkan khemah oleh AJK PAS Kawasan, Pemuda, Muslimat serta individu-individu yang membantu secara sukarela. Diharapkan aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Semoga segala usaha murni sebegini mendapat keredhaan dariNya....

No comments:

Post a Comment