Tuesday, November 10, 2009

MEREKA SEDANG PECAHKAN KITA

KUALA LUMPUR, 11 Nov - Selain melaga-lagakan mereka dalam media, pihak lawan juga menggunakan risalah dan sebaran lain untuk melaga-lagakan pemimpin PAS itu.
Ia dipercayai bertujuan untuk memburuk-burukkan PAS di mata umum, kata anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.Menurut Lo' Lo', kakitangan pejabat beliau menemui banyak risalah yang disebarkan di merata-rata tempat dalam kawasan Parlimen yang diwakili beliau iaitu Titiwangsa.Antaranya, poster dan risalah itu di gantung dan bertaburan atas jalan di Keramat dan sekitar.Poster itu berbunyi 'PAS pecahbelahkan Melayu' dan 'Anwar mainkan PAS'.

Untuk pecahbelahkan Melayu, poster haram tanpa penerbit itu memaparkan gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.Risalah Anwar mainkan PAS pula memaparkan gambar Abdul Hadi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP, Lim Kit Siang."Mereka cuba pecahkan kita," tulis Dr Lo' Lo' dalam pesanan ringkasnya kepada Harakahdaily.

Saturday, November 7, 2009

SEMINAR MEMPERKASAKAN PAS

KUALA LUMPUR, 7 Nov - Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini mengembalikan nostalgia, apabila lebih seribu orang pemimpin utama PAS dari seluruh negara berhimpun sejak jam 8 pagi untuk menyertai satu seminar bagi memperkasakan parti.

Ucaputama yang menggariskan halatuju PAS sebagai sebuah parti politik utama dan gerakan Islam dinegara ini disampaikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau memulakannya dengan memetik ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Maidah yang menerangkan tentang sifat sebenar orang beriman dalam melaksanakan urusan perjuangan, suatu amanah yang dituntut dalam kehidupan ini.

Katanya, antara sifat orang-orang beriman itu adalah, mereka mampu berhadapan dengan berbagai celaan orang yang mencela yang menjadikan golongan tersebut ’mampan dan kalis ujian’ dan akan dapat mencapai kemenangan.

Beliau menegaskan, sifat-sifat parti Islam itu jelas berbeza dengan parti politik lain, walau antaranya terdiri dari umat Islam, mereka tidak sampai ke penghujung.

Seminar Memperkasakan Parti ini diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS minggu lalu, setelah suasana ‘kecoh sebentar’ ekoran tulisan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempertikaikan beberapa pimpinan utama PAS dalam laman blognya.

PAS teruskan komitmen kukuhkan Pakatan Rakyat


Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan bahawa parti itu akan meneruskan komitmen mereka bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan.

"Ingin saya tegaskan untuk kesekian kalinya bagi kita terus bersama Pakatan Rakyat.

"Hubungan yang kita bina bersama Pakatan Rakyat ini adalah bertitik tolak dari asas persamaan iaitu semua pihak bersetuju untuk memerangi penyelewengan rasuah dan sebagainya," katanya dalam ucaptama sempena Seminar Memperkasakan Parti di sini, hari ini.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, persefahaman yang wujud itu dilakukan tanpa mengorbankan dasar yang diperjuangkan PAS.

"PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah parti dakwah, hubungan yang terbentuk ini kuat tapi fleksibel.

"Bukan hubungan yang kuat, kukuh tapi tidak fleksibel atau rapuh. Strategi bersama ini berjaya menyekat BN (Barisan Nasional) sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan sebagaimana yang kita saksikan sekarang ini," katanya sebagaimana dilaporkan mStar Online.

Tambah Abdul Hadi, PAS perlu memperkukuhkan kekuatan bagi memenangi undi di kalangan pengundi Islam namun dalam masa yang sama berusaha untuk meraih undi penyokong bukan Islam.

"PAS hendaklah membina dan memperkukuhkan lagi kekuatannya di atas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar perjuangan Islam.

"Tapi dalam masa yang sama hendaklah mendapatkan undi bukan Islam sebanyak mungkin kerana inilah pendekatan politik yang sebenarnya, asalkan kita mempelihara, akidah dan menjaga sempadan," katanya.

Menurut Abdul Hadi lagi, PAS perlu mengamalkan dasar keterbukaan dan seterusnya menjalinkan hubungan dengan semua pihak yang boleh membawa kepada kemenangan Islam.

Selain itu dalam ucapannya juga, Abdul Hadi menyeru kepada lebih 1,000 ahli yang menghadiri seminar hari ini supaya bersikap lebih matang dalam menerima setiap kritikan kepada PAS dengan hati terbuka.

"Apabila PAS mendapat perhatian umum, ramai peminat yang akan memberikan komen-komen.

"Ada yang manis, ada pahit, jadi kita kena menjadi parti yang matang menilai antara keritikan untuk kekuatan," katanya.

Monday, November 2, 2009

DIALOG RAKYAT

BAHAYA ARAK KEPADA MASYARAKAT



KUAH, 30 Okt - Pas Langkawi sekali lagi turun padang bersama-sama bagi menjayakan program Dialog Rakyat "Bahaya Arak Kepada Masyarakat". Majlis anjuran bersama WEHDAH, PERDAH, PERKIM, TERAS dan ABIM yang dimulakan jam 3.oo petang ini di adakan di Dataran Letak Kenderaan Majlis Perbandaran Langkawi, berhadapan Hotel Bayview. Sekitar jam 11.00 pagi sukarelawan yang diketuai Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah Pas Langkawi, Sdr Ahmad b. Sidek telah bertungkus lumus menyiapkan peralatan siaraya serta persiapan akhir. "Pas Langkawi sememangnya telah merancang untuk mengadakan kempen anti arak. Syukur, Allah telah memberikan laluan, NGO yang menyahutnya," tegas beliau.

Menurut Encik NV Subbarow, rakyat Malaysia telah membelanjakan 500 million USD setahun untuk membeli arak."Pengerusi CAP menyatakan arak adalah syaitan. Jangan benarkan rumah anda dimasuki 2 syaitan (judi dan arak). Perkara ini merupakan penyumbang terbesar keruntuhan rumahtangga," ucap beliau sejurus memulakan ucapan. Encik NV Subbarow merupakan Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang turut kesal dengan kedudukan Malaysia sebagai pengguna alkohol ke-10 di dunia.

Berdasarkan pengamatan secara rambang aktivis yang turut serta, di sekitar Pekan Kuah sahaja terdapat lebih 20 premis yang menjual arak. Antaranya pusat-pusat hiburan serta kedai-kedai yang menjual arak secara terang-terangan.

Menurut Setiausaha Sekretariat Himpunan Ulama' Asia, Cikgu Haji Mohd. Azmi b. Abd. Hamid, semua agama perlu bersatu untuk menolak arak. "Industri jenayah 'halal' di Malaysia ialah industri arak. Arak menjadi punca jenayah yang lain, masalah keluarga, produktiviti menurun, kemalangan jalan raya serta beberapa unsur negatif yang lain," tegasnya. Beliau juga merupakan Presiden TERAS, Ahli Jawatan Kuasa Global Alcohol Policy Alliance Asia Pasific (GAPA) yang beribu pejabat di United Kigdom.

Turut hadir dalam majlis ini, Pegawai Agama Daerah Langkawi, Tuan Syeikh Mohd. Nor Ismardi b. Ismail. Majlis yang disaksikan hampir 300 rakyat yang berada di sekitar kawasan letak kereta ini tamat sekitar jam 5.00 petang

Friday, October 30, 2009

Ahli PAS Kena Bijak Menghadapi Fitnah Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.

Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, October 22, 2009





Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Langkawi dengan berbesar hati menjemput Muslimin/Muslimat, Dato'/Datin, Tuan/Puan ke majlis di atas mengkut ketetapan berikut :
Tarikh : 30 Oktober 2009
Tempat : Dataran Bayview, Langkawi.
Masa : Selepas Solat Jumaat.

PAS KAWASAN BERSAMA JEMAAH HAJI

PADANG MATSIRAT, 20 Okt - Kumpulan pertama jemaah haji dari Langkawi telah berangkat menuju Tanah Suci Mekah sekitar jam 5.30 petang hari ini. Keberangkatan para jemaah diiringi oleh seluruh jentera PAS Langkawi.
Bakal-bakal tetamu Allah bersama ahli keluarga telah berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang terletak di kawasan Padang Matsirat selepas solat Asar. Turut serta dalam penghantaran jemaah haji ini, jentera Pemuda diwakili Setiausaha Al-Fadhil Ustaz Nazmi bin Natzeri, Bendahari Sdr Muhammad 'Akasyah Bin Azinan serta AJK yang tiba bersama saf kepimpinan kawasan.

"Seluruh kepimpinan Muslimat PAS Langkawi mendoakan agar para jemaah dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang proses mengerjakan haji. Kami berharap mereka bakal memperolehi haji yang mabrur,"jelas Ustazah Fatiinah binti Ibrahim, Ketua Muslimat PAS Langkawi yang tiba bersama AJK.


Menurut Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah, Sdr Ahmad bin Sidek, dianggarkan sekitar 300 orang bersama-sama mengiringi bakal-bakal haji. "Ini menunjukkan satu sifat ukhwah yang tinggi antara kepimpinan PAS Langkawi dengan masyarakat," tegas beliau.


Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.
Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan 'koleksi' dosa. (dipetik daripada Arkib harakahdaily.net)

Tuesday, October 20, 2009

JAMUAN MALAM BAGI MERAIKAN PETUGAS PAS

AYER HANGAT, 19 Okt- Rentetan daripada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Padang Bolasepak Pasir Hitam, Mukim Ayer Hangat baru-baru ini, PAS Langkawi telah mengambil inisiatif mengadakan majlis makan malam bagi meraikan petugas-petugas yang telah menjayakan majlis rumah terbuka tersebut. "Majlis sebegini diharapkan dapat menjadi suatu motivasi dan penyuntik semangat kepada para petugas, memandangkan gembelengan tenaga merekalah maka program-program yang dirancang oleh pimpinan PAS Langkawi dapat dilaksanakan dengan jayanya," demikian ulasan yang diberikan oleh Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Langkawi, Sdr Ahmad bin Sidek.



Kehadiran tetamu dianggarkan seramai 200 orang. YDP PAS Langkawi, Sdr Zubir bin Ahmad bersama saf kepimpinan turut memeriahkan majlis. Hidangan ikan bakar, kari ikan tenggiri, laksa yang semuanya disediakan secara gotong-royong menjadi menu utama jamuan. Bacaan doa pembuka majlis telah dilafazkan oleh Tuan Haji Othman bin Bakar, Imam Masjid Pasir Hitam.

Sdr Cha bin Din, Ketua Cawangan PAS Pasir Hitam, Sdr Zamin bin Abdullah, Setiausaha PAS Cawangan Pasir Hitam serta AJK PAS Cawangan Pasir Hitam yang bertindak selaku tuan rumah sememangnya sibuk melayan tetamu yang hadir. Majlis tamat sekitar jam 11.00 malam.